BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, January 14, 2010

UNDANG – UNDANG DAN KEADILAN






Lazimnya  apabila kita membicarakan persoalan undang – undang, isu keadilan juga akan turut diperkatakan. Undang – undang yang ini adil, yang itu tidak adil, yang sana tidak betul, yang sini betul. Begitu, begini.

Mungkin anda boleh bersetuju dengan pandangan saya bahawa undang – undang dan keadilan itu adalah dua entiti yang berbeza, walaupun ianya saling berkait. Bukankah matlamat undang – undang itu untuk mencapai dan menyampaikan keadilan? Tapi adakah matlamat itu seratus – peratus tercapai? Wallahua’alam, boleh jadi ada juga kes – kes yang dibicarakan di mahkamah, diputuskan tanpa mencapai matlamat keadilan.

Sang Hakim, yang pernah mengaji di sekolah undang – undang,  dan boleh jadi punggungnya sudah berkematu lantaran puluhan tahun berlabuh di bangku mahkamah, masih juga seorang manusia yang punya emosi dan kadangkala boleh hilang pertimbangan. Ya, mahkamah punya bukti, saksi dan kanun prosedurnya, namun budi bicara hakim boleh menjangkau paras infiniti di kamar mahkamah.
 
Begitulah persepsi saya pada hari ini (12/01/10), apabila membaca pojok berita yang kecil amat dalam akhbar Sinar Harian. Sebuah mahkamah di South Carolina menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada seorang lelaki bernama Mark Zachary (51 tahun) kerana disabitkan kesalahan mencuri daging bernilai $80 USD (RM 267). Pendakwa berkata, mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana tertuduh punyai 9 rekod jenayah yang lepas.




Duh, malangnya nasib Mark Zachary. Hanya kerana mencuri daging, dia dipenjara satu dekad. Mungkin Zachary bukanlah seorang rakyat yang baik, namun bagi penulis rekod kesalahannya yang lalu tidak wajar diambil kira. Zachary mungkin akan dibebaskan pada 2020, atau mungkin lebih awal sekiranya  mendapat parol. Dia mungkin mencuri lagi, kerana mungkin sudah selesa tinggal di rumah batu besar dengan pengawal!

Syahlan Shafie
22300 Kuala Besut Terengganu

Monday, January 11, 2010

POLEMIK KALIMAH ALLAH





Assalamualaikum dan salam hormat.

Polemik yang maha hebat telah melanda Malaysia. Bukannya kerana gula naik harga, tapi sesuatu yang dahsyat dan tidak pernah terlintas dalam benak mana - mana mukallaf di Malaysia ini, penulis rasa. Kalimah ALLAH mahu digunapakai oleh juak – juak Kristian dalam ruangan artikel berbahasa Melayu dalam akhbar The Catholic Herald.




Siapa sangka, setelah pelbagai tuntutan dipenuhi, mahu gereja diberi gereja, mahu kebebasan berdakwah, diberi kebebasan berdakwah (namun penyebaran agama lain kepada orang2 Islam di Malaysia adalah dilarang di bawah peruntukan Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan), kini ALLAH pula yang mereka minta.

Penulis bukan mahu menghasut, apatah lagi mencari bala untuk ditahan di bawah Akta Hasutan 1948. Penulis cuma ingin mempersoalkan tindakan undang – undang ataupun ‘lawsuit’ yang telah dimulakan oleh akhbar Kristian tersebut terhadap Kementerian Dalam Negeri yang telah mengeluarkan satu arahan melarang pemakaian perkataan ALLAH dalam akhbar tersebut.

Kes ini tidaklah asing dari jangkauan pengetahuan penulis. Itupun secara kebetulan kerana sewaktu kes ini mula difailkan pada sekitar hujung tahun 2007, penulis sedang menjalani latihan industri (praktikal) di Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa – Kuasa Khas di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Sangkaan penulis, kes ini mungkin hanya akan di strike off atau dibuang kes, oleh Kamar Penolong Kanan Pendaftar. Jadi, ia mungkin tidak berpeluang langsung untuk dibicarakan dalam mahkamah, tidak ada liputan media, dan sudah tentulah tidak ada polemik yang bukan sahaja mengancam perpaduan di kalangan rakyat, malah memecahbelahkan orang – orang Islam sendiri. Yang menjadi taruhan, sudah tentu kesucian agama Islam dan status ekslusif agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, per Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, kes ini berjaya melepasi Penolong Kanan Pendaftar dan akhirnya didengar di hadapan Hakim Yang Arif Datuk Lau Bee Lan. Hakim Lau Bee Lan telah memutuskan bahawa penggunaan kalimah ALLAH bukan sesuatu yang ekslusif terhadap umat Islam sahaja. Maka dengan itu, penganut Kristian di Malaysia yang selama ini merujuk kepada Mary, Jesus dan Holy Spirit sebagai Tuhan mereka, boleh juga merujuk ALLAH sebagai Tuhan dalam artikel berbahasa Melayu dalam akhbar The Catholic Herald.

Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekiranya tidak diakas (reverse atau overturn) dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan mungkin juga di Mahkamah Persekutuan, ianya akan menjadi suatu undang – undang berikutan doktrin duluan kehakiman (doctrine of binding judicial precedent). Umat Kristian bukan sahaja boleh menggunakan kalimah ALLAH dalam artikel berbahasa Melayu dalam The Catholic Herald, tetapi juga dalam apa sahaja urusan keagamaan mereka, seperi khutbah (sermon) berbahasa Melayu di gereja, syarahan – syarahan agama, risalah – risalah agama, dan mungkin juga di laman web dan blog. Jangan pula terperanjat sekiranya akan ada koir Kristian menyanyikan lagu gereja mereka yang mana liriknya menyebut perkataan ALLAH.


Gambar hiasan - tiada kaitan dengan entri blog ini.

Saya kadangkala bingung bila berhadapan dengan situasi sebegini. Tapi lebih bingung bila ada suara - suara dari kalangan umat Islam yang menyokong tindakan undang – undang The Catholic Herald yang secara terang – terangan langsung tidak menghiraukan sensitiviti sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Mereka berhujah, bahawa orang Kristian di Asia Barat (Negara – negara Arab) telah merujuk ALLAH sebagai Tuhan dalam kitab Injil mereka selama ribuan tahun lamanya, jadi mengapa mahu dihalang niat akhbar tersebut untuk turut sama mengguna pakai kalimah ALLAH?


Sebuah gereja di Timur Tengah.

Begini, bukankah kita perlu memerhati dan menilai local circumstances sesuatu tempat. Sesuaikah didirikan masjid di tengah – tengah kejiranan Siam yang beragama Buddha, atau patutkah gereja didirikan di tengah – tengah taman perumahan Melayu seperti di Bandar Baru Bangi atau seksyen 2 Shah Alam? Bernaskah idea untuk membuka butik Gucci atau Braun Buffel di Ulu Dong, Raub? Sudah tentu jawapan bagi semua persoalan di atas adalah negatif.

Begitu jugalah halnya dengan situasi setempat atau local circumstances di Malaysia kalau hendak dibandingkan dengan Negara – Negara Arab. Orang – orang Kristian Arab yang berbahasa Arab sudah tentulah membaca Injil mereka dalam Bahasa Arab, dan kerana itulah perkataan ALLAH diguna pakai. Di Malaysia, penganut Kristian terdiri daripada orang Cina, India serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Tidak ada seorang pun orang Melayu yang beragama Kristian secara legal dan official*. Jadi mengapa perlu ada artikel berkenaan agama Kristian yang berbahasa Melayu?

Mengapa hanya melihat kepada negara – negara Arab?  Lihat juga di  sebelah Barat. Adakah orang – orang Kristian di Eropah dan Amerika Syarikat menggunapakai perkataan ALLAH? Jawabnya tidak. Jika mereka mengguna pakai kalimah ALLAH, sudah tentu kalimah suci itu akan kedengaran dalam filem – filem tajaan Barat yang seringkali mencampur adukkan perkataan kesat dan Tuhan, seperti Jesus fucking Christ, God damn it, Holy shit dan Motherfucker.  Maha suci ALLAH daripada blasphemy seumpama itu.

Adalah dibimbangi, sekiranya kalimah ALLAH ini boleh digunapakai oleh gereja, ia akan disalahgunakan oleh pihak yang tidak beretika dalam menyebarkan dakwah mereka. Benar, peruntukan perlembagaan melarang sama sekali penyebaran agama lain terhadap orang Islam, namun sudah berapa ribu umat Islam murtad di tangan missionaries Kristian? Kes Jamalauddin v Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang melibatkan penyebaran agama Kristian di kalangan orang Melayu oleh paderi yang bebangsa Melayu masih melekat di ingatan penulis, apatah lagi kes ini dibincangkan oleh Prof Shad Saleem Faruqi dalam kuliah Undang – undang Perlembagaan sewaktu penulis masih di tahun satu pengajian. Tidakkah keputusan mahkamah ini akan menyenangkan lagi usaha dan gerak kerja mereka dalam memurtadkan umat Islam?


Prof. Emeritus Dr. Shad Saleem Faruqi.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, telah mengeluarkan pendapat beliau yang terkini. Tuan Guru turut sama tidak bersetuju dengan tindakan undang – undang The Catholic Herald dan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan tersebut, kerana ianya boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Akhir kata, penulis menyeru diri sendiri dan para pembaca sekalian, supaya bermuhasabah dan menyedari betapa lemahnya penghayatan dan kesatuan umat Islam di negara kita, sehingga boleh diperkotak – katikkan sehingga ke tahap ini. Benar, perbezaan pendapat itu rahmat, namun jangan sampai kita berpecah. Sama – sama kita berdoa, agar keputusan Mahkamah Rayuan nanti akan mengakas keputusan Mahmakah Tinggi.

*Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Anda juga boleh membaca pendapat penulis Faisal Tehrani di sini.

JUSTICE MUST NOT ONLY BE DONE, BUT MUST BE SEEN TO BE DONE.

Syahlan Shafie
22300 Kuala Besut, Terengganu.