BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, January 14, 2010

UNDANG – UNDANG DAN KEADILAN






Lazimnya  apabila kita membicarakan persoalan undang – undang, isu keadilan juga akan turut diperkatakan. Undang – undang yang ini adil, yang itu tidak adil, yang sana tidak betul, yang sini betul. Begitu, begini.

Mungkin anda boleh bersetuju dengan pandangan saya bahawa undang – undang dan keadilan itu adalah dua entiti yang berbeza, walaupun ianya saling berkait. Bukankah matlamat undang – undang itu untuk mencapai dan menyampaikan keadilan? Tapi adakah matlamat itu seratus – peratus tercapai? Wallahua’alam, boleh jadi ada juga kes – kes yang dibicarakan di mahkamah, diputuskan tanpa mencapai matlamat keadilan.

Sang Hakim, yang pernah mengaji di sekolah undang – undang,  dan boleh jadi punggungnya sudah berkematu lantaran puluhan tahun berlabuh di bangku mahkamah, masih juga seorang manusia yang punya emosi dan kadangkala boleh hilang pertimbangan. Ya, mahkamah punya bukti, saksi dan kanun prosedurnya, namun budi bicara hakim boleh menjangkau paras infiniti di kamar mahkamah.
 
Begitulah persepsi saya pada hari ini (12/01/10), apabila membaca pojok berita yang kecil amat dalam akhbar Sinar Harian. Sebuah mahkamah di South Carolina menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada seorang lelaki bernama Mark Zachary (51 tahun) kerana disabitkan kesalahan mencuri daging bernilai $80 USD (RM 267). Pendakwa berkata, mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana tertuduh punyai 9 rekod jenayah yang lepas.




Duh, malangnya nasib Mark Zachary. Hanya kerana mencuri daging, dia dipenjara satu dekad. Mungkin Zachary bukanlah seorang rakyat yang baik, namun bagi penulis rekod kesalahannya yang lalu tidak wajar diambil kira. Zachary mungkin akan dibebaskan pada 2020, atau mungkin lebih awal sekiranya  mendapat parol. Dia mungkin mencuri lagi, kerana mungkin sudah selesa tinggal di rumah batu besar dengan pengawal!

Syahlan Shafie
22300 Kuala Besut Terengganu

0 REAKSI ANDA: